Barang jadi murah, Fadillah selar Chong DAP kecam kabotaj S’wak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyelar tindakan parti Dap Sarawak khasnya Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang mengecam pelaksanaan pengecualian dasar kabotaj di Sarawak.

Fadillah melahirkan rasa pelik kerana di peringkat Dap Sarawak mereka membantah pemansuhan kabotaj, namun di peringkat Dap Sabah pula, mereka menyokong termasuk industri perkapalan.

Menyokong dasar bermanfaat untuk rakyat di peringkat Pemuda PBB Negeri dan BN Fadillah kesal, “saya pun tidak faham kerana kadang-kadang kita hendak mempolitikkan sesuatu perkara, tetapi tidak berasaskan fakta…”

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan pada Rabu, Fadillah berkata pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari pelabuhan di Semenanjung ke Sarawak dan Sabah serta Labuan, memang menguntungkan rakyat.

“Kapal antarabangsa boleh terus datang ke Sarawak, jadi kos pengangkutan akan turun,” ujar Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Menurut beliau, penurunan kos pengangkutan secara langsung menyokong harga barangan di Sarawak dan Sabah munasabah murah.

Bahkan, menurut Fadillah dasar kabotaj bagus dari segi keselamatan kerana asalnya perkapalan antarabangsa hanya akan turun di pelabuhan Klang, kini ia terus ke Sarawak dan Sabah.

Justeru, beliau berharap dengan pengecualian dasar kabotaj yang berkuat kuasa 1 Jun ini, harga barangan di Sarawak menjadi lebih stabil.

Bagi Fadillah, dasar baharu kabotaj tersebut mampu memberi kesan positif kepada Lebuh Raya Pan Borneo kerana sistem jalan darat itu membantu mempercepat penghantaran dan mengurangkan kos pengangkutan ke seluruh daerah di Sarawak.

Lebuh Raya Pan Borneo empat lorong menjadikan pergerakan kenderaan lebih  cepat, singkat dan selesa sekali gus mengurangkan kos pengangkutan membantu mengurangkan harga barangan walaupun di pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Ahad lepas mengumumkan, mulai 1 Jun ini kerajaan melaksanakan pengecualian dasar kabotaj di Sarawak dan Sabah serta Labuan. – Sarawakvoice