20 penghuni terjejas, dua rumah dijilat api tengah malam di Sibu

SIBU: Seramai 20 penghuni dua buah rumah di Kampung Bahagia Jaya di sini tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka musnah dijilat api tengah malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.23 tengah malam dan dua jentera, sebuah prime mover water tanker dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 16 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu.

“Pasukan pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian dan mendapati api telah merebak ke rumah kedua, dari jenis rumah satu tingkat dengan binaan kayu.

“Kedua-dua rumah telah terbakar seratus-peratus dengan anggaran keluasan kedua-duanya sekitar 20 kaki x 40 kaki.

Jelas Ling Hii, anggota yang terlibat kemudian membentang satu aliran hos 300 kaki dengan satu nozel.

“Satu aliran saluran bantu mula turut dipasang dari sumber air tangki jentera untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh 22 minit dan padam sepenuhnya 24 minit kemudian,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal kata Ling Hii, rumah pertama mempunyai 12 penghuni manakala rumah kedua, lapan penghuni.

“Namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice