Tuhan makbulkan doa saya dapat bantuan – Abdul Ghani

TEMERLOH: “Kalau nak harapkan bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana mungkin saya dapat baiki rumah usang ini”. Itu kata Abdul Ghani A. Rahman, 70, penduduk Kampung Padang Kerbau yang menerima bantuan menerusi program Jom Bantu Rakyat (JBR) anjuran Jabatan Perdana Menteri. Menurut warga emas itu, kudratnya tidak lagi mampu untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa buat isteri dan beberapa orang cucunya.

Katanya, dia sering berdoa dan minta kepada Allah agar kesempitan hidupnya diringankan kerana tidak mahu melihat keluarganya terus hidup dalam keadaan daif. “Saya mempunyai anak seramai lima orang. Mereka semua sudah berkeluarga dan ada tanggungjawab sendiri.

Keadaan rumah penerima bantuan, Dani A. Rahman yang telah dibaik pulihketika tinjauan pada Program Jom Bantu Rakyat di Kampung Padang Kerbau, Temerloh, Pahang.

“Walaupun mereka semua sudah bekerja tetapi pendapatan yang diterima hanya cukup-cukup untuk mereka sekeluarga saja. Jadi saya tak mengharapkan apa-apa daripada mereka,” katanya kepada theRakyat.

Abdul Ghani berkata, dia tidak menyangka doanya itu dimakbulkan apabila menjadi salah seorang penerima bantuan JBR semalam. “Syukur pada tuhan yang memberikan rezeki ini kepada kami. Dapatlah saya sekeluarga dan cucu tinggal dalam keadaan yang selesa seperti jiran-jiran lain,” katanya.

Menerusi program yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Abdul Ghani menjadi salah seorang daripada penerima skim bantuan perumahan apabila sebahagian daripada kediamannya yang rosak akibat banjir besar pada 2014 di Pahang dibaik pulih oleh beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam projek strategi lautan biru (NBOS).

Peruntukkan sebanyak RM11,000 dikeluarkan untuk membaik pulih kerosakan selain pembelian untuk mengisi rumah seperti perabut dan beberapa peralatan lain. Turut menerima bantuan, Hasmah Ibrahim, 74, seorang ibu tunggal yang tinggal di sebuah rumah usang bersama seorang anak perempuan kelainan upaya (OKU) di Kampung Tenggoh di sini.

Warga emas itu tidak pernah menyangka terataknya akan dikunjungi pemimpin nombor satu negara apatah lagi turut mendapat bantuan pemulihan rumah selepas rosak teruk dalam bencana banjir sebelum ini. Menceritakan kehidupannya, Hasmah berkata, rumahnya yang dibina daripada kayu tidak mungkin bertahan lama kerana kebanyakan bahan binaannya sudah mereput.

Kejadian banjir paling buruk pada 2014 yang lalu telah menyebabkan hampir 90 peratus rumahnya ditenggelami banjir lumpur hingga segala perkakasan rumah musnah. Sejak kejadian itu, dia dan anak perempuannya tinggal sehelai sepinggang dan hanya dibantu oleh secara ala kadar oleh 13 orang anaknya.

Beginilah keadaan rumah Asmah Ibrahim kini yang telah dibaik pulih selepas musnah sebahagiannya akibat banjir

“Anak saya yang kerja dengan kerajaan hanya seorang sahaja. Itu pun bukan pegawai tinggi, yang lain hanya bekerja sendiri dan pendapatan pun tak seberapa. “Alhamdulillah, saya dapat bantuan ini dan ia sangat bermakna. Terima kasih kerajaan sudi buat ini semua untuk saya dan keluarga,” katanya.

Dalam program bantuan itu, Hasmah menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM26,000 yang meliputi pembaik pulihan rumah serta perabut. Datin Paduka Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob adalah antara orang kenamaan yang turut serta semasa kunjungan mesra Najib dalam program itu.