Tiada pili bomba, sumber air terbuka namun bomba kawal api di Kampung Lintang Baru dalam tempoh 10 minit

SERIAN: Ketiadaan pili bomba dan sumber air terbuka, menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan sambungan air dari dua jentera untuk memadamkan kebakaran sebuah rumah di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, Muhamad Afiq Yusoff memberitahu, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.15 tengah hari tadi berkaitan insiden terbabit.

Dua jentera dan dua ambulans EMRS dengan kekuatan 13 anggota kemudian dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dan Serian.

“Setiba pasukan di Kampung Kampung Lintang Baru Panchor, Kilometer 28, Jalan Kuching – Serian ini, kami dapati sebuah rumah dua tingkat sedang marak terbakar.

“Ia merupakan jenis separuh kekal dan kami berusaha melakukan pemadaman awal dari sumber air jentera menggunakan satu aliran 200 kaki dan dua nozel.

Bagaimanapun, katanya pihaknya berhadapan masalah kerana tiada pili bomba di lokasi kejadian, namun menggunakan air jentera, api dikawal dalam tempoh 10 minit.

“Sejurus pasukan bantuan dari Serian tiba, mereka terpaksa melakukan kaedah ‘Relay Pumping’ untuk membekalkan air dari jentera ke jentera.

“Ini melambatkan kerja-kerja seterusnya selepas api berjaya dikawal.

Kedua-dua jentera katanya, terpaksa keluar ke jalan utama bagi mendapatkan sumber air daripada pili bomba yang terdekat, yang jaraknya 3 kilometer.

Ini menyebabkan operasi hanya tamat sekitar jam 3.20 petang tadi.

Kata Afiq, sebanyak lapan penghuni berusia antara dua hingga 44 tahun berada di rumah ketika kejadian, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih disiasat pasukan forensik dan anggaran kerugian belum ditaksir.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Bumiputera, Datuk Roland Sagah Wee Inn turut hadir di lokasi petang tadi bagi memberi sumbangan kepada keluarga mangsa yang terbabit. – Sarawakvoice