YB Sarawak perlu tahu ekonomi digital – Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa para pemimpin Sarawak perlu mempunyai pengetahuan tentang konsep ekonomi digital.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa Sarawak mahu memanfaatkan ekonomi digital dalam usaha mempercepatkan pembangunan sosioekonomi secara eksponen.

“Oleh itu, beliau menggesa semua wakil rakyat supaya memahami sepenuhnya konsep ekonomi digital dan mencadangkan supaya mereka mula membuat penyelidikan sendiri mengenai perkara itu.

“Sarawak akan memulakan dimensi baharu pembangunan dan pertumbuhan secara keseluruhan dengan melahirkan lebih banyak peluang kerja bagi golongan muda di bandar dan di luar bandar, dengan mentransformasikan kehidupan dan cara kita menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Seminar Parlimen selama sehari yang dihadiri anggota-anggota dewan undangan negeri, setiausaha-setiausaha politik dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya berharap dengan ini, semua Yang Berhormat kita benar-benar mengetahui mengenai konsep ekonomi digital, memandangkan kita akan bergerak dalam mode menolak untuk mentransformasi Sarawak melalui teknologi ini.

“Ia akan menjadi satu keadaan yang menyedihkan jika anda tidak dapat berdebat dalam perkara ini dengan bijaksana dalam dewan yang mulia dan anda juga perlu pengetahuan ini untuk melibatkan diri dengan pengundi anda sekiranya anda diminta menjelaskan tentang apa itu ekonomi digital,” kata Abang Johari.

Ketua menteri itu juga menyebut bahawa beliau mungkin membuat penilaian berdasarkan kad skor atau atas aduan yang diterima melalui lisan atau melalui media sosial tentang prestasi mereka yang lemah.

Menurut Abang Johari, seminar ini berfungsi sebagai pendekatan yang lebih fokus untuk memastikan prestasi semua wakil rakyat mencapai sasaran.

“Saya mahu anda menggunakan secara bijak peruntukan RM5 juta bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan saya mahu projek dan program yang dilaksanakan di bawah RTP ini disiapkan tepat pada masanya dengan kos yang efektif,” katanya.

Seminar itu dianjurkan kerajaan negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri dan Institut Kepimpinan  Perkhidmatan Awam Sarawak, sebuah institusi latihan yang khusus dalam membangunkan  pemimpin untuk Perkhidmatan Awam Sarawak.

Mengenai pembangunan infrastruktur, Abang Johari berkata pengumuman mengenai rancangan membangunkan Transit Aliran Ringan (LRT) bukan hanya ‘cakap-cakap kosong seperti didakwa pemimpin pembangkang sambil menambah LRT adalah inisiatif kerajaan negeri dan kerajaan akan memastikan janji itu ditunaikan,” kata Abang Johari.

Beliau juga menyebut bahawa Bank Negara telah meluluskan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak  (SDB), sambil menjelaskan bank itu akan membiayai projek-projek strategik termasuk ICT dan infrastuktur sekolah yang usang (bangunan sekolah dan kuarters guru) di kawasan luar bandar.

Katanya Sarawak akan menggunakan konsep ‘bina dahulu’ menggunakan pinjaman daripada SDB dan kemudian mengemukakan tuntutan kepada kerajaan persekutuan sambil menambah Sarawak tidak dapat menunggu pembiayaan kerajan persekutuan untuk membangunkan infrastrukur pendidikan. Bernama