Pemandu Perodua Viva maut berlanggar lori barang di Bintulu, pemandu lori cabut lari

BINTULU: Kerana takut, seorang pemandu lori barang melarikan diri sejurus kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Viva di Jalan Batu 6, dekat sini awal pagi adi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat insiden tersebut sekitar jam 4.30 pagi.

“Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS kemudian dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu.

“Tiba di lokasi dalam tempoh 11 minit, pasukan mendapati impak kemalangan menyebabkan seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk  pemandu kereta Viva.

“Pasukan paramedik yang tiba kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kata Ling Hii, sejurus selepas itu, pihaknya memulakan kerja menyelamat dan mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘rescue tool’ perenggang teleskopik.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum ghaib.

Identiti mangsa yang maut pula dikenal pasti sebagai Jimbun Uguom, 44 tahun. – Sarawakvoice