Pemain tempatan Sarawak setanding import — David Usop

KUCHING: David Usop mempunyai sebab untuk tersenyum biarpun sekadar mencatat seri dalam aksi Liga Super malam tadi.

Selangor berjaya menafikan tiga mata milik pasukannya, namun David menang dari sudut kematangan pemain lokalnya.

Ini termasuk pemain muda yang diasuh dari pasukan Presiden dan dibawa naik ke pasukan utama Liga Super.

“Saya abaikan pemain import dan memasukkan enam pemain muda anak tempatan.

“Ia kali kedua selepas aksi bertemu Kelantan, dan dalam kedua-dua perlawanan ini, kita mencatatkan seri.

Foto kredit Sahrein Maloh

Sekurang-kurangnya kata David, di sebalik kempunan kemenangan di Stadium Negeri, beliau masih boleh tersenyum.

Dalam aksi menentang The Red Giant itu, Sarawak mencatatkan seri 1-1.

Enam pemain anak tempatan yang dimaksudkan ialah Tommy Mawat Bada, Mohd Dzuazlan Ibrahim, Mohd Hairol Mokhtar, Shreen Tambi, Awang Kamaruddin Awang Borhan dan Abdul Rahim Abdul Razak.

Di bangku simpanan, beliau memiliki Nur Shamie Iszuan Amin dan Mohammad Hafiz Abu Bakar yang juga memiliki kebolehan dan kepantasan yang sama.

Pada aksi malam tadi, beliau hanya memasukkan Mark Andrew Hartmann pada minit-minit akhir permainan manakala Lee Jong-ho langsung tidak tersenarai.

Tindakan berani David dikatakan berpunca daripada peningkatan mendadak para pemain lokal Sarawak ini, selain atas faktor strategi.

Katanya, beliau berpuas hati kerana anak-anak buahnya berjaya mencipta gol bairpun kurang mencipta peluang.

“Ia lebih baik berbanding perlawanan lalu, apabila gagal menggegarkan jaring, biarpun memiliki rantaian peluang.

Mengulas jaringan Mohd Rizal Fahmi, yang menafikan kemenangan Sarawak dan menjadi punca kebangkitan Selangor, David menyifatkannya sebagai kelalaian.

“Gagal mencabar dan hanya melihat pergerakan lawan menyebabkan Rizal dapat menghidu peluang gol,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan seri tersebut adalah adil kerana kedua-dua pasukan bermain dengan baik dan mampu mencipta peluang.

“Kita mengetahui disiplin berkubu Selangor adalah amat baik dan kerana itu, mereka berjaya menghalang kita membina peluang.

“Namun saya juga berterima kasih kepada barisan pertahanan kita yang bekerja keras untuk mengelakkan berlakunya kekalahan.

Kata David, menjelang aksi bertemu Perak pada 24 Julai depan, beliau akan cuba mengatasi kelemahan yang ada.

“Kita akan berusaha memperbaiki kombinasi terutama dari aspek serangan, agar mereka lebih serasi dalam mendapatkan gol.

Sarawak masih berkedudukan di tangga ke-11 dengan 10 mata, satu mata di belakang Melaka United dan PKNS FC. – Sarawakvoice