Pas bertegas tidak sertai mana-mana blok lain

KUALA LUMPUR:  Pas bertegas tidak akan menyertai mana-mana blok yang lain apatah lagi kembali menyertai Umno, sebaliknya  parti Islam itu akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

“Pas terus akan kritikal memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara, di samping sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam isu ummah dan melibatkan kepentingan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan komen  Setiausaha Agung Umno,   Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor seolah-olah memberi gambaran bahawa  Pas ingin kembali ke pangkuan Umno, kelmarin.

Katanya, Umno dan pimpinannya terlebih dahulu perlu membaca sejarah penuh tentang penubuhan Pas dari pelbagai sudut, dan tidak hanya diambil sudut kecil kemudian membuat kesimpulan yang tidak tepat.

“Asasnya, PAS ditubuhkan oleh orang Umno tetapi bukan sebagai sayap kepada Umno. Dalam masa yang sama, Pas juga ditubuh oleh ahli-ahli Hizbul Muslimin selepas diharamkan pada 1948. Ini bererti bukan (ahli) Umno sahaja yang terlibat dengan penubuhan Pas,” ujarnya.

“Sesuai dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Pas akan memainkan peranan yang signifikan dalam arus perdana politik tanah air seterusnya jujur dalam mengkritik, tegas berpegang pada prinsip Islam berasaskan konsep keadilan dan kesatuan ummah serta mewujudkan semak dan imbang yang berkesan kepada pembangunan masa depan masyarakat dan negara,” tambahnya.

Ujarnya, Pas juga menasihati pemimpin Umno supaya tidak perlu menjadikan “agenda hala tuju politik Pas” sebagai tema perhimpunan mereka hari ini.

Umno meraikan ulang tahun ke-71 hari ini dengan 120,000 dijangka menghadiri acara bersejarah itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Pas dilihat semakin mesra dengan Umno-Barisan Nasional sehingga mencetuskan spekulasi parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan bekerjasama dari segi politik dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14. – Sarawakvoice