LHDN Sarawak lancar Ops Kutip kedua tahun ini

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak hari ini melancarkan Ops Kutip bilangan kedua bagi tahun ini dengan sasaran kutipan cukai tertunggak berjumlah RM22.26 juta.

Pengarah LHDN Sarawak Ramlot Keli  berkata 63 petugas terlibat dalam operasi berkenaan yang dibahagikan kepada 21 kumpulan.

Katanya, kawasan yang diliputi dalam operasi berkenaan ialah kawasan Bandaraya Kuching, Petra Jaya, Pending, Tabuan Jaya BDC, Batu Kawa, Batu 7, Kota Samarahan, Penrissen, Padawan, Siburan, Serian, Sri Aman, Engkilili, Betong dan Seratok.

Menurut Ramlot, cukai tertunggak itu membabitkan 61 syarikat dengan nilai cukai RM10.43 juta dan 410 kes membabitkan pembayar cukai selain syarikat (seperti perniaggaan perseorangan, bukan sendirian berhad) dengan nilai cukai RM11.83 juta.

Statistik berkenaan dikeluarkan Ramlot selepas upacara melepaskan 63 petugas penguatkuasa JHDN Sarawak untuk Ops Kutip di sini hari ini.

Program ini serentak dengan program peringkat kebangsaan yang berlangsung hari ini hingga esok membabitkan 592  petugas di seluruh negara. Bernama