Keharmonian antara agama penting demi masa depan negara – Najib

SHAH ALAM: Masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosial berterusan, yang pada masa sama, memerlukan keharmonian antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menarik perhatian bahawa keharmonian antara agama adalah berasaskan kepada persefahaman bersama serta saling menghormati.

“Ini adalah antara nilai-nilai intrinsik yang kita perlu sebarkan dan perkukuhkan,” kata beliau pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Wesak Kebangsaan di sini, hari ini.

Najib berkata bapa-bapa pengasas negara serta semua yang lain bukan sekadar meletakkan dasar-dasar Perlembagaan malah menyemai nilai-nilai dan asas politik untuk generasi-generasi Malaysia selepas mereka, bagi membentuk keharmonian antara agama. Ini hendaklah diguna pakai bagi membentuk perpaduan yang lebih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia, kata beliau.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia Sit Chan Liang. Bernama