Kadar premium balak bukit melonjak 6000 peratus 1 Julai depan – Abang Jo

Tindakan kerana pengusaha degil melaksanakan tanam semula hutan

KUCHING: Berkuat kuasa 1 Julai depan,  kerajaan akan melaksanakan kadar premium baharu bagi pengeluaran balak bukit di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya telah menaikkan harga premium tersebut daripada 80 sen per kubik meter kepada RM50 per kubik meter.

“Hasil ini kelak akan kita gunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak kita, menghantar mereka belajar ke luar negara dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Parlimen anjuran Institut Kepimpinan Sarawak di sibi petang tadi.

Abang Jo berkata, usaha ini penting kerana selama ini para pengusaha kayu balak ini berdegil dan enggan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan, bagi merealisasikan “hutan tanam semula”.

“Sepatutnya mereka melaksanakannya pada waktu saya masih Menteri Pembangunan Perindustrian dahulu,” katanya lagi.

Arahan mengenai kenaikan kadar premium ini ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Hutan, Sapuan Ahmad dalam pekeliling kepada semua pemegang lesen konsesi balak bertarikh 12 April lalu.

Peruntukan pembayaran premium ini termaktub dalam Seksyen 46(1) Odinan Perhutanan Negeri.

Difahamkan kenaikan kadar sebanyak 6,000 peratus ini akan digunakan untuk membiayai Dana Pendidikan Yayasan Sarawak.

Sementara itu, Menteri Muda Perancangan Urban, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, peningkatan kadar ini penting kerana ia tidak pernah disemak semula untuk lebih 30 tahun.

“Pada masa yang sama, Ketua Menteri cuba menghantar mesej kepada mereka (pengusaha balak) agar mengurangkan pengeluaran itu dari hutan primer.

“Kami mahukan mereka memberi sepenuh perhatian kepada hutan tanam semula yang telah diumumkan awal tahun ini.

Kata Len lagi, ketika ini daripada 300 ribu hektar hutan yang ditanam, setengah daripadanya adalah inisiatif kerajaan.

“Hanya 150 ribu hektar yang ditanam oleh sektor swasta ini.

“Kita memberi mesej bahawa mereka perlu mengusahakan penanaman ini jika mahu kekal dalam industri.

Katanya, kerajaan juga akan menyemak semula bila tempoh yang sesuai pada masa depan untuk mengharamkan eksport balak ini.

“Dengan implementasi kadar baharu ini, kerajaan dijangka memperoleh pendapatan RM200 ke RM300 juta setahun berbanding kurang RM50 juta setahun dengan kadar lama sebelum ini,” katanya lagi. – Sarawakvoice