JKM S’wak bantu anak angkat tiada status warganegara mohon dengan KDN

KUCHING: Berdasarkan undang-undang, menjadi tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak membantu ibu bapa kepada anak angkat yang tiada status warganegara memohon status berkenaan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata jawatankuasa mereka di JKM Sarawak menapis permohonan anak angkat terbabit.

Sebelum disokong dan dikemukakan kepada pihak KDN, borang dan dokumen penting berkaitan anak angkat berkenaan disemak dan dipastikan lengkap.

Fatimah berkata hal ini membantu ibu bapa mengelak daripada menghantar borang permohonan berulang kali kepada KDN di Putra Jaya.

Fatimah merasmikan Majlis Taklimat Perundangan Pengangkatan Anak Di bawah Ordinan Pengangkatan (CAP 91) anjuran Unit Pentadbiran, Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak pada Isnin.

Menurut Fatimah, borang kerap ditolak akibat tidak lengkap yang menyebabkan keluarga angkat berasa bosan mengemukakan permohonan, manakala anak angkat menunggu lama keputusan permohonan tersebut.

Hal ini menjadi punca kanak-kanak terbabit terlepas peluang belajar, menikmati kemudahan kebajikan, penjagaan kesihatan serta keistimewaan lain yang dinikmati seseorang warganegara.

Fatimah bagaimanapun mengingatkan bahawa kementeriannya hanya membantu kategori anak angkat sahaja untuk memohon status warganegara, tetapi tidak membantu isteri warga asing atau selain itu.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri kenubuhkan jawatankuasa khas selepas pihak kementerian di bawah Fatimah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Putra Jaya, 15 Ogos 2016.

Zahid bersetuju Kerajaan Negeri menubuhan jawatankuasa terbabit bagi membantu ibu bapa di negeri ini memohon status warganegara untuk anak angkat di bawah usia 18 tahun.

Jawatankuasa berkenaan berkuat kuasa September 2016 hingga September 2018 dipengerusikan Fatimah sendiri dan turut dianggotai dua bekas menteri muda kementerian iaitu Dr Abdul Rahman Ismail dan Syarifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.

Sebelum ini, kementerian mengenal pasti terdapat penghuni kanak-kanak di rumah kebajikan di negeri ini dibuang sebaik dilahirkan.

Apabila identiti ibu bapa kandung kanak-kanak ini tidak diketahui, ia turut menimbulkan masalah untuk menentukan status warganegara kanak-kanak berkenaan.

Ini menjadikan pada sijil lahir kanak-kanak terbabit berstatus “warganegara belum ditentukan”.

Terdapat juga kanak-kanak berstatus “warganegara belum ditentukan” diangkat oleh penduduk di negeri ini dan tidak menghuni rumah kebajikan. – Sarawakvoice