DAP dinasihatkan usah politik isu Dasar Kabotaj, lihat kepentingan rakyat Sarawak — Pemuda BN

KUCHING: “Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya mahu mempolitikkan semua perkara, tetapi gagal melihat kepada fakta,” sindir Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini.

Datuk Seri Fadillah Yusuf mengulas tindakan Ketua Pembangkang Dun Sarawak yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen membantah tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Kabotaj bermula 1 Julai depan.

Katanya, di Sabah, pemimpin DAP dan pemain industri menyokong malah menerima baik keputusan kerajaan itu.

“Hanya DAP Sarawak yang menolak atas alasan menyokong industri perkapalan.

Katanya, Pemuda BN Sarawak dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berhubung perkara ini.

“Ia akan memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan, khususnya sebagai pemangkin penurunan harga barang di Sarawak dan menjadikannya lebih stabil dan munasabah berbanding Semenanjung.

Katanya, jika meningkat tinggi pun, harga ini tidaklah terlalu tinggi.

“Yang pasti ia akan membantu meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Geran Bantuan untuk pelbagai NGO┬ádi sini pagi tadi.

Katanya lagi, siapnya Lebuh Raya Pan Borneo kelak akan turut membantu mengurangkan kos pengangkutan dan menurunkan lagi harga barang.

“Ini kerana jarak perjalanan lebih pendek.

Ia akan membolehkan rakyat memiliki pelbagai barangan tanpa isu perbezaan harga barang di bandar dan luar bandar yang ketara.

Dasar Kabotaj diperkenal pada tahun 1981 bagi memastikan barangan import diturunkan secara sentralisasi di pelabuhan besar seperti Pelabuhan Kelang sebelum diagihkan kepada kapal-kapal tempatan, untuk perjalanan ke Sabah, Sarawak dan beberapa lokasi lain.

Situasi ini menyebabkan pengguna akhir di negeri-negeri terlibat terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk sesuatu barangan itu, berikutan kos pengangkutan yang meningkat.

Justeru apabila kerajaan menghapuskan dasar ini, kapal-kapal kargo besar boleh menurunkan kargo mereka terus di Pelabuhan Sarawak, Sabah dan Labuan.

Secara teorinya, harga barangan akan menjadi lebih murah dan kos efektif.

Akan tetapi tindakan ini tidak dipersetujui industri perkapalan di Sarawak yang mendakwa mereka akan kerugian, dan meletakkan 18 ribu pekerja dalam risiko pemberhentian.

“Kerajaan telah membuat kajian berhubung perkara itu dan ketika keputusan dibuat, kerajaan lebih prihatin kepada kepentingan rakyat.

“Kita mengharapkan kos pengangkutan akan turun dan dengan turunnya kos ini, harga-harga barangan akan lebih stabil untuk Sarawak dan Sabah,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice