Anak pelarian jadi Presiden Korea Selatan

SEOUL: Moon Jae-in, 64, tidak menyerah meskipun pernah dikalahkan Geun-hye pada Pilihan Raya Presiden Korea Selatan (Korsel) 2012 lepas.

Ironis sekali, calon Parti Demokratik Liberal ini kembali bertarung dan memenangi Pilihan Raya Presiden 2017, Moon menggantikan mantan presiden Geun-hye yang dipecat kerana rasuah itu.

Moon lahir di Geoje, 24 Januari 1953, anak Moon Yong-hyung si ayah pelarian dari Hamhung, wilayah Hamgyeong dari Korea Utara.

Ayahnya menetap di Geoje sebagai pekerja di penjara dan berkahwin dengan Kang Han-ok.

Keluarga mereka kemudian menetap di Busan.

Moon bersekolah menengah di Kyungnam High School dan menyambung pendidikan tinggi bidang undang-undang di Universiti Kyunghee.

Moon pernah ditangkap dan dikeluarkan dari universiti kerana menganjur demonstrasi terhadap Konstitusi Yushin.

Sekali lagi ironisnya, konstitusi Yushin dikuasai pemerintahan mendiang Presiden Park Chung-hee, ayah kepada Park Geun-hye yang dipecat kerana rasuah dan jawatannya diambil alih oleh Moon kini.

Moon diwajibkan menyertai tentera dan direkrut menjadi pasukan khas.

Selesai menyertai tentera, Moon lulus ujian undang-undang menyambung ke Judicial Research and Training Institute.

Moon lulus cemerlang, penuntut kedua terbaik, tetapi tidak diterima menjadi hakim atau juri mahkamah yang dibayar gaji oleh kerajaan kerana sejarah lampaunya sebagai aktivis pelajar yang melawan kerajaan Korea Selatan.

Dia kemudian memilih untuk menjadi peguam.

Moon akhirnya menyertai politik dan bertanding sebagai calon Parti Demokratik Liberal dalam Pilihan Raya Presiden Korea Selatan kali ini.

Kemenangan Moon disahkan secara rasmi oleh Badan Pilihan Raya Umum Korea Selatan (NEC) pada Rabu.

Yonhap pada Rabu melaporkan Moon mendapat 40.3 peratus bersamaan 11.7 juta undi.

Calon presiden dari Parti Kebebasan, Hong Joon-pyo memperoleh 25.04 peratus bersamaan 7.3 juta undi.

Calon presiden Parti Rakyat, Ahn Cheol-soo mendapat 21.5 peratus undi.

Dalam ceramah sebagai Presiden Korea Selatan Ke-19, Moon berjanji menjadikan negara tersebut hebat dan mahu menjadi presiden kebanggaan rakyatnya.

Manakala, calon presiden yang tewas, Hong Joon-pyo mengeluarkan kenyataan kepada media, menerima kemenangan pesaingnya, Moon. – Sarawakvoice