Aksi milik Rizal Fahmi, tetapi banyak peluang Selangor dinafikan pertahanan Sarawak – P. Maniam

KUCHING: Aksi malam tadi milik Mohd Rizal Fahmi, kata pengendali The Red Giant, P. Maniam.

Ia susulan jaringan cantik pemain pertahanan tengah itu pada minit ke-44 malam tadi, sekali gus menafikan hak Sarawak mencipta tiga mata.

Menurutnya, gol yang diledak pemain yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu cukup menarik, kerana beliau berjaya melarikan bola ke kawasan lawan, menumpaskan dua pertahanan Sarawak sebelum meledak bola tepat ke sasaran.

“Ia jaringan yang pintar dan fantastik!” katanya.

Jaringan itu katanya, juga menukar rentak permainan pasukannya yang sebelum itu agak tertekan setelah Sarawak mendahului melalui jaringan Mateo Roskam pada minit ke-33.

“Sarawak bermain dengan baik dan pemain kita gagal mendapat rentak sehinggalah dikejutkan oleh gol tuan rumah.

“Namun setelah ledakan Rizal menjadi, para pemain seolah-olah dirasuki semangat baharu dan 45 minit berikutnya adalah milik kita.

Dalam aksi malam tadi, Selangor bangkit daripada penguasaan Sarawak dengan meledakkan sekurang-kurangnya lapan percubaan tepat, namun ketangkasan penjaga gawang, Mohd Shahril Sa’ari dan barisan pertahanan yang diketuai Ronny Harun menafikan peluang gol.

Malah beberapa percubaan oleh pemain import Juliano Mineiro Fernandes dan Victor Stelian Astafei hanya menemui tiang dan palang.

Foto kredit Sahrein Maloh

Meski gagal mencipta kemenangan seperti dalam pusingan pertama di, Maniam tetap berpuas hati.

“Kita cipta banyak peluang dan pemain bermain baik, penuh semangat.

“Kita boleh nampak kesungguhan mereka yang bermati-matian memburu gol. Itu satu kepuasan untuk perlawanan ini,” katanya lagi.

Menjelang aksi seterusnya, menentang Pahang, Maniam berharap para pemainnya akan menemui rentak lebih awal.

“Kita ada 10 hari untuk bersedia dan akan menurunkan Andik (Vermansyah) dalam aksi itu kelak.

“Oleh itu kita akan merancang sesuatu agar tiga mata dapat diraih,” tambahnya lagi.

Keputusan semalam meletakkan Selangor di keenam dengan 17 mata. – Sarawakvoice