Ahim mahu menang, bantu Sarawak tingkatkan kedudukan Liga Super

KUCHING: “Saya akan berikan yang terbaik. Saya mahu bantu Sarawak menang dan meningkat dalam kedudukan liga” azam Abdul Rahim Abdul Razak, penyerang muda Sarawak yang kini sedang mencipta nama.

Rahim, 22 tahun yang dipanggil “Ahim” dalam kalangan rakan-rakannya merupakan antara bintang muda yang berjaya digilap pengendali Bujang Senang, David Usop musim ini.

Naik secara mendadak daripada skuad Piala Presiden, Rahim dan dua rakannya, Tommy Mawat Bada serta Nur Syahmie Iszuan sentiasa berada dalam skuad utama sejak tahun lalu.

Malah penampilan pertamanya pada aksi Liga Super pantas mencuri tumpuan apabila berjaya mencipta dan merancang peluang yang baik.

Biarpun muka baharu di pentas Liga Super, tetapi pemain yang berketinggian 1.7 meter ini memiliki keberanian, kelajuan dan kepintaran yang menggerunkan pertahanan lawan.

“Beri beliau tempoh tiga tahun … Rahim bakal muncul sebagai penyerang yang disegani di negara ini,” kata David.

Bagaimanapun bekas penyerang skuad bawah 19 tahun negara ini tetap menunduk diri sambil mengakui banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Saya berterima kasih kepada Coach David yang memberi begitu banyak peluang, dan yang paling penting menaruh kepercayaan kepada saya.

“Coach David juga banyak membantu meningkatkan corak permainan saya, selain bantuan rakan-rakan lain, termasuk pemain import,” katanya lagi.

Setakat ini Rahim merupakan aset penting Sarawak yang berjaya mencetak dua gol, masing-masing satu ketika Liga Super dan Piala FA. – Sarawakvoice