Abang Jo bidas DAP, inisiatifnya bukan angan-angan, tapi dalam proses bermula

KUCHING: Bukan hanya angan-angan Mat Jenin, semua inisiatif yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam tempoh 100 hari menjadi peneraju negeri ini sudah dibuat perkiraan wajar.

Abang Johari menyangkal dakwaan tidak berasas Parti Tindakan Demokratik (Dap) yang mengatakan semua inisiatif yang diumumkan beliau untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang hanya “angan-angan kosong”.

Berucap merasmikan Seminar Ahli Parlimen pada Isnin, Abang Johari berkata semua inisiatif yang diumumkan tidak secara sembrono.

“Saya sudah membuat perkiraan dalam tempoh empat tahun inisiatif ini akan dilaksana,” tegas beliau.

Bercakap berkaitan pembinaan transit aliran ringan (LRT), beliau menegaskan LRT pertama Serian-Damai bermula sekitar 2020.

Projek LRT inisiatif Kerajaan Negeri sendiri pembangunannya dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

Abang Johari menegaskan, Barisan Nasional  sanggup berbelanja berbilion ringit demi memastikan rancangan berkenaan dilaksanakan dan demi menepati janji kepada rakyat.

Abang Johari sempat menyinggung bahawa kerajaan Dap di Pulau Pinang sendiri sudah dua tahun bercakap berkaitan pembinaan LRT di Pulau Pinang, tetapi belum lagi memulakannya.

Menyentuh pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula, Abang Johari berkata sektor swasta DANAWA menandatangani perjanjian dengan Inosat untuk bekerjasama dengan Brunei.

Secara teknikal, inisiatif berkenaan sudah pun bermula kata Abang Johari. – Sarawakvoice