Salleh selar Sarawak Report

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengecam Sarawak Report yang terang-terang menunjukkan ketidaksopanan dan tidak beradab dengan mengekori dan mengganggu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata warga Sarawak Report bersikap kurang sopan dan hakikat  bahawa mereka merasa mempunyai hak berbuat demikian menunjukkan mereka adalah golongan kelas bawahan.

“Kita jangkakan mereka yang dikatakan bertamadun di England akan sekurang-kurangnya menunjukkan rasa hormat kepada isteri perdana menteri negara luar tetapi nampaknya diplomasi hanya untuk orang mereka sahaja.

Gambar fail

“Mereka melaungkan dakwaan palsu dengan menyatakan kebebasan akhbar membolehkan mereka berkata apa saja.

“Mereka kemudian bertanya kepada Rosmah mengapa pergi ke United Kingdom (UK) jika tidak mahu diekori,” kata Salleh dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, semalam.

Beliau juga menjelaskan Sarawak Report enggan menyiarkan akaun mereka atau mendedahkan sumber dana yang diperoleh yang menunjukkan mereka sendiri tidak telus tetapi pada masa sama menuduh pihak lain.

Sarawak Report telah melemparkan beberapa tuduhan terhadap Rosmah yang ketika ini sedang melawat UK.

Penaung Permata Negara itu kini berada di UK untuk lawatan tujuh hari sejak Khamis hingga 10 Mei ini bagi meluaskan program Permata. Bernama