Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia tidak akan jejas ekonomi, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR: Pembatalan perjanjian jualan saham antara TRX City Sdn Bhd dan IWH CREC Sdn Bhd untuk projek Bandar Malaysia tidak akan memberi sebarang kesan ke atas ekonomi Malaysia.

Ketua Pakar Ekonomi dan Strategi Pelaburan IQI Holdings , Shan Saeed berkata, kerajaan Malaysia telah membuat keputusan yang baik dan berupaya mengurangkan risiko dan melihat pelbagai peluang yang akan diperoleh daripada tindakan tersebut.

IQI Group Holdings adalah syarikat hartanah dan pelaburan yang mengendali dan memberi khidmat nasihat pelanggan di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, Melbourne dan Dubai.

Menurutnya, ia keputusan komersil semata-mata dan yakin kerajaan boleh mendapat perjanjian lebih baik daripada pelabur baharu.

Shan berkata, ekonomi tidak bergerak atas peristiwa mikro, tetapi makro.

“Pelabur  melihat kepada empat faktor iaitu keyakinan kerajaan, keyakinan ekonomi, kunci kira-kira kerajaan dan permintaan agregat. Mereka juga melihat kepada infrastruktur moden kerana bagi pelabur global perkara ini sangat penting,” katanya ketika temubual eksklusif dengan Bernama News Channel di sini, semalam.

Shan berkata, mungkin terdapat perjanjian lain yang dirancang kerajaan untuk pelaburan lebih baik di Bandar Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan yang ia akan menjejaskan pelaburan lain dari China di Malaysia.

“Anda perlu memahami dan melihat ekonomi daripada perspektif makro. Malaysia mempunyai kepentingan geografi yang kuat disebabkan Selat Melaka. China tidak akan meninggalkan Malaysia bagi tempoh 100 tahun akan datang. Sesetengah orang berkata ia bukanlah perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan, ia adalah perjanjian komersil. Anda tidak perlu melibatkan kerajaan dalam perjanjian itu kerana ia semata-mata perjanjian komersil,” katanya.

TRX City Sdn Bhd, satu entiti di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan, membatalkan jualan 60 peratus pegangan dalam  Bandar Malaysia Sdn Bhd untuk RM7.41 bilion kepada IWH CREC Sdn Bhd (ICSB)  dengan alasan  ICSB tidak memenuhi obligasi pembayaran walaupun 12 lanjutan diberikan.

ICSB adalah satu konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC).

Berikutan pembatalan perjanjian berkenaan,  kementerian itu melalui TRX City, merancang untuk mengekalkan 100% peratus kepentingan ke atas tanah tersebut di samping mencari pelabur bagi memainkan peranan sebagai pemaju induk.

Bandar Malaysia adalah tapak pembangunan terbesar dan strategik di Malaysia dan akan menawarkan banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan, termasuk  Bandaraya Internet Kuala Lumpur, hab untuk Zon Perdagangan Bebas Digital.

Ia juga akan menjadi pusat pengangkutan Malaysia, menghubungkan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura, laluan MRT, komuter KTM, keretapi ekspres dan 12 lebuh raya. Bernama