Pandang jijik dan benci rasuah, SPRM lancar Gerah dan 3J

PUTRAJAYA: Isnin pertama setiap bulan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan kempen revolusi sosial Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah).

Melalui Gerah sekitar 2,000 tenaga kerja SPRM turun padang bertemu rakyat di lokasi terpilih seperti lapangan terbang dan stesen kereta api menyampaikan mesej benci pada rasuah dan salah guna kuasa, serta sedia melaporkan kejadian jenayah itu kepada SPRM.

Sesuai dengan meletakkan rasuah sebagai musuh utama negara kempen tersebut dilihat sebagai langkah drastik yang agresif bagi memberi kesedaran kepada masyarakat perihal bahayanya rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata melalui kempen itu pihaknya mahu melihat dalam tempoh tiga tahun ini, rakyat bangun, menolak dan berkata tidak kepada rasuah.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Gerah pada Isnin, Dzulkifli berkata SPRM mahu melahirkan masyarakat yang benci serta memandang jijik rasuah dan pelaku rasuah serta pesalah guna kuasa.

Sementara, Dzulkifli menyeru syarikat terlibat dalam urusan perniagaan tampil melaporkan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa kepada SPRM, agar tindakan tegas dapat dikenakan terhadap pesalah.

Memetik laporan Bernama, Dzulkifli berkata, “syarikat jarang tampil ke hadapan. Mereka perlu memainkan peranan kerana kerja banteras rasuah dan salah guna kuasa bukan hanya terletak pada bahu SPRM, tetapi semua pihak.”

Dzulkifli berkata, rakyat perlu tahu bahawa SPRM ialah rakan dan keluarga mereka.

“Anda boleh bergantung kepada kami. Oleh itu, anda perlu berani untuk mengatakan tidak,” ujar beliau.

Selain Gerah, SRPM turut melancarkan kempen 3J – “Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle” yang disebar luas SPRM dengan kerjasama agensi media.

Kempen 3J dilancarkan di pejabat Kumpulan Media The Star, Akhbar Sin Chew Jit Poh dan Akhbar Tamil Nanban pada Isnin. – Sarawakvoice