Nasib  Ahok ditentukan hari ini

JAKARTA:  Beribu-ribu anggota polis ditempatkan di sini hari ini bagi menyekat sebarang kemungkinan susulan keputusan akihir membabitkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama.

Kumpulan yang menyokong Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok dan kumpulan Islam yang menuntut beliau dipecat dan dipenjarakan, atas dakwaan menghina Al-Quran dikhuatiri bertembung dan bergaduh susulan keputusan mahkamah hari ini.

Front Pembela Islam (FPI) yang banyak menganjurkan tunjuk perasaan di sini  mahu hukuman berat dikenakan terhadap Ahok.

Ahok  didakwa mengkritik seterunya ketika berkempen September  tahun lalu kerana menggunakan ayat al-Quran.

Kekalahannya menurut pengamat politik turut berpunca daripada kes mahkamah berkenaan, selain wataknya yang dianggap keras dan tegas.

Namun ibu kota 11 juta jiwa  yang dibelenggu pelbagai masalah ini memerlukan seorang Gabenor yang tegas, berani dan bersih.

Keputusan perbicaraan hari ini  menguji toleransi agama di negara paling banyak penduduk Islam ini.

Kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Joko Widodo, sekutu Ahok, sebelum ini dikritik kerana gagal mempertahankan kumpulan minoriti agama.

Ahok beberapa kali menyeru semua pihak bertenang dan menghormati proses mahkamah.

“Kedua-dua kumpulan boleh menunjuk perasaan, tetapi kami mengambil langkah menyekat sebarang pergaduhan,” kata jurucakap polis Indonesia, Setyo Wasisto seperti dilaporkan media di sini. – Sarawakvoice