Mayat lelaki dari Sarawak ditemui di flat Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Misteri bau busuk di Flat Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata mayat lelaki berusia 32 tahun itu ditemui dalam keadaan keseluruhan anggota badan telah membengkak.

“Mayat mangsa ditemui di bilik tidur dalam keadaan tertiarap dengan kedua-dua belah pergelangan tangan diikat dengan wayar pengering rambut dan kabel pengecas telefon bimbit.

“Kami tidak dapat mengesan kecederaan pada luaran badan kerana keadaan mayat mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang 4 hari lepas,”katanya ketika dihubungi.

Chong berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Sarawak itu menyewa di kediaman berkenaan seorang diri.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. Bernama