Kesan negatif hapus kabotaj: Chong dakwa Abang Johari jahil

KUCHING: Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen mendakwa Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg jahil tentang kesan sebenar tindakan menghapuskan dasar kabotaj, terutama kepada industri perkapalan.

Banyak pekerja dijangka akan hilang pekerjaan dalam tempoh enam bulan susulan langkah tersebut yang berkuasa kuasa 1 Jun, malah menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, langkah berkenaan dijangka tidak akan dapat mengurangkan harga barangan import seperti jangkaan ramai.

Dasar berkenaan yang dikuatkuasakan Kerajaan Persekutuan 30 tahun lalu mewajibkan barangan diniagakan perlu melalui Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan harga barang dijual di Sarawak, Sabah dan Labuan lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Beliau terpisah daripada realiti dan jahil tentang kesan dasar kabotaj sejauh berkaitan dengan kesannya terhadap inustri perkapalan,” dakwa Chong kepada media, semalam.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa berkata, sebenarnya, bagi Sarawak dalam beberapa tahun lalu, terdapat liberalisasi dalam dasar berkenaan.

Katanya, kapal dari China dan Timur Tengah serta negara lain telah dibenarkan untuk terus ke pelabuhan di Sarawak tanpa perlu berlabuh di Pelabuhan Klang terlebih dahulu.

Dalam hubungan ini, Persatuan Pemilik Kapal  meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan menghapuskan dasar berkenaan.

Kini terdapat 3,000  buah kapal didaftarkan di Sarawak, dengan 18,000 pekerja, menurut  Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah (SSSA) dan Persatuan Perkapalan Sarawak Shipping (SSA).

Persatuan terbabit dipetik media berkata, dengan  langkah mengecualikan dasar berkenaan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu, akan menyebabkan kehilangan pekerjaan yang ketara, justeru meminta kerajaan mengkaji semula keputusan itu.

“Setengah daripada mereka akan hilang  pekerjaan dalam tempoh enam bulan. Mereka akan menutup perniagaan  apabila sektor berkenaan dibuka untuk kapal asing,” ujarnya.

Justeru, Chong menggesa agar Ketua Menteri mengkaji semula keputusan menghapuskan dasar kabotaj. – Sarawakvoice