Mungkinkah Pas dan Umno bekerjasama dari segi politik dalam pilihan raya umum ke-14?

Atau kerjasama berkenaan tidak lebih daripada sekadar kerjasama membabitkan agama dan kepentingan tertentu seperti dalam kes Rohingya sebelum ini?

Pas dan Umno masih lagi berteka-teki dengan penganalisis politik memerhati dengan dekat segala kenyataan dan tindak-tanduk kedua-dua parti terbabit.

Kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 4 Mei turut menyemarakkan lagi spekulasi berkenaan.

Bagi Abdul Hadi ia merupakan permulaan kepada politik matang antara Pas dengan  kerajaan Barisan Nasional – yang ditafsirkan sesetengah pemerhati sebagai bermaksud kerjasama politik.

“Semuanya terpulang kepada kepimpinan Pas sama ada mahu kembali kepada Umno,”  Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  dipetik sebagai berkata berhubung cadangan supaya kedua-dua parti itu bersatu.

Umno  menurut beliau ialah parti inklusif yang sedia mendengar dan memberi peluang jika Pas ingin kembali kepada Umno dengan ikhlas dan jujur.

“Walaupun telah terlanjur, boleh pulang ke pangkuan,” ujarnya semalam.

Menurutnya kedua-dua parti itu tidak mempunyai masalah dan terpulang kepada pucuk pimpinan Pas jika langkah itu difikirkan perlu untuk kebaikan negara, orang Melayu dan umat Islam.

Perlukah Pas dan Umno bekerjasama?

Hakikatnya Pas pernah berada dalam pangkuan BN dari 1973 hingga 1977.

Perdana Menteri pernah meminta supaya pemimpin Pas supaya mengetepikan ideologi sempit politik kepartian.

Dengan Pas kini enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah, kemungkinan untuk Pas bekerjasama dengan Umno tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Namun, Menteri Besar Kelantan pernah menyatakan bahawa BN  tetap kekal sebagai musuh politik tradisi Pas kecuali perkara yang berkaitan kepentingan rakyat.

Parti itu berkata, Pas hanya akan bekerjasama dengan Umno bagi isu membabitkan kepentingan agama, masyarakat dan negara.

“Jika hal yang berkaitan dengan kepentingan negara, Islam dan semua rakyat, memang kita akan bekerjasama, tetapi hanya antara kerajaan, tiada kerjasama politik. Kita akan lawan Umno dalam PRU,” seorang naib presiden Pas dipetik sebagai berkata sebelum ini.

Persoalannya, adakah kerjasama itu bakal menguntungkan Umno dan Pas? Atau ini akan menguntungkan Pakatan Harapan?

Kita perlu meneliti lebih lanjut perkembangan pada minggu-minggu akan datang sebleum dapat membuat kesimpulan yang tuntas. – Sarawakvoice