Hanya menang diterima sebagai keputusan malam ini – David Usop

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak tidak akan menerima keputusan lain malam ini.

Istilah kalah atau seri tidak akan diterima, sebaliknya hanya ada satu pilihan iaitu kemenangan.

David Usop dalam arahan akhir dan tegas tidak mahu dikecewakan lagi.

Perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super menentang Selangor di Stadium Negeri, malam ini harus milik Sarawak.

Menurutnya, berada di kedudukan ke-11 daripada 12 pasukan ketika ini amat tidak menyelesakan, dan Sarawak perlu bangkit segera.

“Selangor adalah pasukan yang kuat. Dan sewaktu bertandang ke gelanggang lawan, jurulatihnya, P Maniam selalu memilih untuk memperkukuh kubu.

“Justeru kami akan berusaha mengasak habis-habisan untuk mencari gol,” mengulas strategi terakhir sebelum sepak mula.

Katanya, aksi pada malam esok harus menjadi permulaan baharu yang lebih segar.

“Bermain baik, dengan strategi mantap belum cukup jika gagal meletakkan bola dalam jaring.

“Jadi misi kita adalah menjaringkan sebanyak mungkin gol dan bukan sekadar mencipta peluang.

Kata David, menang tiga mata, bererti Sarawak akan berada di kedudukan kelapan atau kesembilan.

“Ini seharusnya direalisasikan untuk membakar semangat pasukan menjelang pusingan baharu ini,” katanya selepas latihan terakhir di Stadium Negeri semalam..

David menjelaskan, untuk aksi malam ini, semua pemain baik yang muda mahupun yang berumur berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Tetapi berkemungkinan besar saya akan menurunkan para pemain yang beraksi menentang Kelantan dalam aksi terakhir pusingan pertama.

Sarawak yang layak ke Piala Malaysia pada aksi tersebut merehatkan pemain import termasuk Lee Jong-ho dan hanya memasukkan Mark Andrew Hartmann pada saat-saat akhir.

Para penyokong mengharapkan sesuatu yang baharu hari ini kerana dalam keadaan sekarang, pasukan tidak boleh pergi jauh.

“Kami pun mengharapkan keadaan yang serupa. Dan jika diamati daripada suasana latihan sebagai persiapan untuk perlawanan ini, kita boleh melakar sesuatu.

“Kesemua pemain kini cergas dan tidak sabar untuk diturunkan,” katanya lagi.

Dalam aksi pusingan pertama 8 April lalu, Sarawak kalah 1-2 kepada Selangor menerusi jaringan Victoras Astafei dan Francis Doe manakala gol saguhati Bujang Senang diperoleh Mateo Roskam. – Sarawakvoice