Dua aksi terakhir Mei peluang terakhir pemain Sarawak bukti kebolehan – David Usop

KUCHING: Aksi menentang Selangor malam ini dan kemudian Perak pada 24 Mei kelak akan menjadi medan taruhan terakhir untuk menilai keseluruhan prestasi pemain Sarawak, kata pengendalinya, David Usop.

Katanya, kesemua pemain baik import mahupun tempatan perlu membuktikan bahawa pasukan tidak mempunyai sebab untuk menyingkirkan mereka ketika jendela perpindahan dibuka akhir bulan ini.

“Saya mahu mereka tunjukkan kebolehan sebenar dan memastikan pemilihan mereka sebelum ini adalah tepat.

“Ketika ini, prestasi kita agak mengecewakan, dengan berada di kedudukan yang jauh ke bawah,” akuinya.

Jelas David, meski amaran dilaungkan oleh kepimpinan persatuan untuk menyingkirkan pemain yang gagal berprestasi, namun belum ada ‘hitam putih’ mengenainya.

“Ketika ini saya beranggapan prestasi dan situasi Sarawak sekarang disumbang oleh semua pihak — sebagai satu pasukan, bukan individu.

“Kerana itu saya tidak dapat mendedahkan siapa kalangan pemain-pemain ini yang kurang mendapat merit daripada kami, pengurusan pasukan,” katanya lagi.

Katanya, laporan telah dihantar kepada kepimpinan tertinggi persatuan, dan terpulang kepada mereka untuk membuat penilaian dan keputusan akhir.

Sebelum ini David meluahkan kekecewaannya terhadap prestasi ‘yoyo’ pemain import, dan membayangkan ada kalangan mereka akan disingkirkan.

Malah difahamkan beliau sudah mula mencari calon yang sesuai, sekiranya para pemain kurang berprestasi ini ditamatkan kontrak mereka, biarpun enggan mengulas mengenainya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (Fas) Datuk Posa Majais mengakui kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya, hingga berkata jika keadaan mendesak, Sarawak boleh menurunkan keseluruhan pasukannya terdiri daripada pemain tempatan.

Sarawak tidak pernah menang dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri. – Sarawakvoice