Angkara 3.6kg dadah, wanita Thailand bakal digantung sampai mati di Kuching

KUCHING: Menangis air mata darah sekali pun tidak akan dapat mengubah nasib seorang wanita warga Thailand yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan mengedar dadah.

Wanita terbabit, Napaphorn Tanjit, 58 didapati bersalah kerana mengedar 3.6 kilogram methamphetamine, ketika melalui pemeriksaan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 9 malam,1 November 2015.

Napapthorn dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya semalam, Hakim Dato Rhodzariah Bujang memutuskan bahawa pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan yang diberikan.

Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, lalu membebaskannya daripada pertuduhan itu tanpa pembelaan.

Bagaimanapun pasukan pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 17 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu, dengan memutuskan bahawa terdapat kes prima facie.

Napaphorn yang juga seorang penghidap HIV kemudian diarahkan untuk membela diri di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

Sebaik hukuman dijatuhkan, tertuduh yang memakai sarung tangan dan topeng muka kelihatan menitiskan air mata. – Sarawakvoice