Menista agama Islam, Ahok dipenjara dua tahun

JAKARTA:  Sudah jatuh ditimpa tangga.

Itulah yang berlaku terhadap Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, lebih dikenali sebagai Ahok yang meledak namanya dalam kalangan 11 juta warga di sini.

Ahok tewas dalam pemilihan jawatan Gabenor Jakarta Mac lalu.

Pagi tadi, beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah.

Ahok langsung dibawa dengan kenderaan Baracuda ke Penjara Cipinang dengan pengawalan ketat.

Beliau dibawa ke Cipinang  sebentar tadi sambil dikerumuni ramai wartawan, termasuk dari luar negara.

Para wartawan berteriak-teriak memintanya menoleh untuk diambil gambar.

Ahok sempat melambaikan tangan kepada para wartawan, namun tak mengucapkan sepatah kata pun.

Wakil Gabenor Jakarta Djarot Sjaiful Hidayat berkata, prihatin atas hukuman terhadap Ahok.

Tempoh Ahok menjadi Gabenor berakhir Oktober ini, lapor BBC Indonesia.

“Majlis hakim berusaha membuktikan kesalahan Pak Ahok,” kata  Tommy Sihotang, salah seorang peguam Ahok, sambil berkata padahal seharusnya itu tugas jaksa. 

“Jaksa justeru menuntut Pak Ahok dengan pasal 156, kerana menganggap penodaan agama tidak terbukti, lalu hakim justeru berusaha membuktikan Pak Ahok bersalah dalam hal penodaan agama,” katanya menurut BBC lagi.

Peguam Ahok lainnya, I Wayan Sudiarta, berkata, “putusan ini bisa dimaklumi tetapi tak bisa diterima.”

“Kami memaklumi, kerana adanya tekanan luar biasa daripada massa. Dengan berbagai-bagai demonstrasi dan sebagainya. Hakim kan manusia biasa. Jadi kami memaklumi. Tapi kami tidak menerima,” ujarnya.

“Kami menyatakan banding. Kami kecewa, alat-alat bukti tidak cocok dengan yang jadi putusan hakim,” tegasnya.

Ahok, Gabenor Jakarta yang tegas, berani dan antirasuah popular sebelum dituduh menista agama Islam dalam kempennya pada September lalu.

Golongan garis keras agama Islam turun ke jalanan untuk tunjuk perasaan dan mendesak beliau dipenjara. – Sarawakvoice