AADK pantau 1,208 Orang Kena Pengawasan berkaitan dadah di S’wak

SIBU: Pendekatan konvensional membasmi salah guna dadah seperti ceramah atau penyebaran risalah tidak lagi mencukupi, bahkan pendekatan baru perlu dinamis dan kreatif .

Residen Sibu Hii Chang Kee merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sibu menyeru agar wujud usaha bersepadu membasmi gejala dadah di negeri ini.

Menurut beliau, kerjasama penuh diperlukan daripada pelbagai pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau kerjasama berasaskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan semangat kerjasama menghasilkan kesan positif selain mampu mewujudkan perpaduan memastikan masyarakat bebas dari salah guna dadah.

Memetik Utusan Sarawak pada Selasa, Hii pada perasmian Victory Charity Night Run 2017 anjuran Kelab Leo Methodist Pilley Institute (MPI) di Dataran Bandar Sibu, terdapat 1,208 kes Orang Kena Pegawasan (OKP) dicatatkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sarawak, Mac 2017.

Di Sibu menurutnya terdapat 97 kes OKP merupakan belia 19-40 tahun yang sepatutnya menjadi tonggak dan tulang belakang masa depan negara.

Menurut Hii, Julai depan, MTMD Sibu bekerjasama rapat dengan AADK Sibu menganjurkan “Symposium on Community Empowerment on Drugs Abuse Prevention”.

Hii berharap pihaknya dapat melibatkan pemimpin masyarakat, JKKK, KRT, pertubuhan agama, PIBG, NGO seperti Saberkas, Jaycees, Lions dan agensi kerajaan menyuntik pengetahuan dan maklumat menjalankan program pencegahan secara berterusan.

Menurut beliau Program Train the Trainers dijalankan demi memperkasa masyarakat melaksanakan program mereka sendiri tanpa terlalu bergantung dengan agensi seperti AADK dan polis. – Sarawakvoice