TERKINI: Mayat mangsa bot karam di muara Sungai Paloh Kabong dijumpai

KABONG: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki mangsa bot karam di muara Sungai Paloh di sini berhasil apabila berjaya menjumpai mangsa kira-kira jam 8.34 pagi ini.

Mayat mangsa dijumpai penduduk yang terlibat mencari dalam keadaan terapung kira-kira dua kilometer dari kawasan tragedi.

Buserah Saili, 43 tahun, bersama dua rakan yang sedang melakukan usaha mencari dengan bot miliknya terpandang objek berwarna merah yang separuh terapung di permukaan air.

Dan, sebaik menghampiri objek berkenaan ternyata objek tersebut mangsa yang dicari dengan masih berseluar sukan (track suit) berwarna merah.

Mereka kemudian memaklumkan penemuan kepada pihak bomba yang berada tidak jauh dari situ.

Ketika dijumpai mayat mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Mayat mangsa kemudian dibawa dengan kenderaan polis dari jeti Kabong ke Hospital Saratok kira-kira jam 9.05 pagi.

Kakak mangsa Dayang Zaleha, 52, antara yang turut mengiringi jenazah mangsa yang berada di dalam kenderaan polis untuk dibawa ke Saratok.

Turut mengiringi jenazah, ibu mangsa,Dayang Masnah, 67.

Pada Sabtu, (6 Mei) mangsa Abang Madehan Abang Awi berusia 43 tahun bersama 12 penduduk sedang dalam perjalanan dengan bot membawa air minuman bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .

Bot yang dinaiki mangsa bagaimanapun telah dibadai ombak dan karam kira-kira jam 12.40 tengah hari. Ekoran daripada kejadian itu mangsa gagal diselamatkan dan hilang di laut pada hari kejadian.

Bapa saudara mangsa, Abang Adenan, memberitahu mangsa yang masih bujang merupakan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Kampung Paloh.

Adenan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang operasi mencari sejak Sabtu dan ditamatkan sebaik mangsa dijumpai hari ini.

Ketua Kampung Paloh, Abang Morshidi Abang Buserah yang ditemui memberitahu jenazah mangsa dibawa ke Saratok untuk siasatan lanjut dan akan dibawa pulang untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam Kabong pada hari ini juga. – Sarawakvoice