Selepas ubah wajah, raja dadah paling dikehendaki mungkin lari ke Malaysia

BANGKOK: Lagaknya bagaikan ditiru daripada filem aksi Hollywood “Face Off” arahan John Woo, apabila seorang daripada raja dadah paling dikehendaki di Thailand membuatkan agensi penguatkuasaan dadah di negara itu tidak senang duduk, berikutan penampilannya yang kini berubah selepas menjalani pembedahan plastik untuk mengelak dikesan.

Difahamkan, orang buruan ini mungkin sedang bergerak ke arah Kemboja atau Malaysia untuk mencari “tempat persembunyian baharu” selepas lokasi persembunyiannya di Laos semakin tidak selamat, susulan tindakan keras pihak berkuasa di negara berkenaan baru-baru ini.

“Maklumat risikan kami menunjukkan dia sudah pun menjalani pembedahan plastik bagi mengelakkan ditangkap, tetapi kami tidak tahu jenis pembedahan plastik yang dijalaninya,” kata Ketua Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand, Sirinya Sitdichai kepada Bernama baru-baru ini.

Menggunakan pembedahan plastik untuk mengubah rupa paras bagi mengelakkan ditangkap bukan pertama kali berlaku atau terhad kepada adegan filem semata-mata, seperti yang dibongkar pihak berkuasa Thai pada Julai lepas, apabila mereka menahan seorang lelaki warga Jepun berusia 62 tahun yang mengaku menjalani pembedahan plastik untuk mengelakkan ditahan kerana kesalahan lampau.

Lelaki itu menjadi pelarian selama 10 tahun berikutan dakwaan memanipulasi saham di Jepun dan dihantar pulang selepas ditahan di Thailand.

Raja dadah Thai itu yang disenaraikan sebagai penjenayah paling diburu dan dikehendaki di Thailand, melarikan diri daripada pihak berkuasa negara itu lebih 10 tahun dan dipercayai sedang bersembunyi di Laos serta disyaki mendapat perlindungan sindiket dadah tempatan yang sangat berkuasa.

Bagaimanapun, Sirinya berkata, disebabkan tindakan keras pihak berkuasa Laos baru-baru ini, orang buruan yang membawa ganjaran 2 juta baht (kira-kira RM250,000) kepada pemberi maklumat sehingga dia berjaya ditahan itu terus melarikan diri, berkemungkinan menjadikan Kemboja atau Malaysia sebagai tempat perlindungan seterusnya.

“Kami sudah menganalisis semua maklumat dan dia berkemungkinan pergi ke Kemboja, yang berdekatan dengan Laos atau ke Malaysia, di mana dia masih boleh mengharapkan rangkaian dadahnya (untuk perlindungan),” katanya tentang lelaki buruan berasal dari Narathiwat, selatan Thailand itu.

Pihak berkuasa Thai sebelum ini mendakwa orang buruan itu mempunyai 2 kewarganegaraan, iaitu Thai dan Malaysia, yang mungkin menjelaskan keutamaannya untuk memilih Malaysia sebagai “tempat perlindungan” berikut.

Menurut Sirinya, raja dadah Thai itu disangkakan melarikan diri dari negara Indo China apabila agensi penguatkuasaan dadah Thai dan Laos mempertingkatkan kerjasama mereka yang membawa kepada penahanan seorang warga Laos diberi gelaran “Raja dadah Asean” di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Januari.

Nyawa raja dadah Thai itu dalam bahaya selepas pihak berkuasa Laos menahan 2 orang suruhan “Raja dadah Asean” pada awal tahun ini dan bulan lepas.

Sumber memberitahu Bernama orang buruan Thai itu kini menggunakan nama Laos baharu iaitu “Souk Xaysana” dan mengahwini seorang wanita Laos, selain memiliki perusahaan besar di negara itu, termasuk bilik pameran kereta, ladang getah, resort dan lombong emas serta tembaga.