Selain mohon pada Agong, Otai Reformis anjur jelajah Bebaskan Anwar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Otai Reformis Saari Sungib berkata kumpulan reformis sedia mengadakan jelajah ke seluruh negara meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.

Saari merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dari Amanah berkata, Otai Reformis yang aktif dalam gerakan Reformasi 1998 bakal menganjurkan siri jelajah kempen “Bebaskan Anwar”.

Sebelum itu, seramai 60 hadir terdiri daripada anggota 18 kumpulan yang menandatangani memorandum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memohon baginda memberi pengampunan kepada Anwar.

Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai istana, Cik Hilmi Cik Musa.

Menurut Malaysiakini, jurucakap Otai Reformis, Ronnie Liu berharap Anwar dapat diampunkan dalam waktu terdekat bagi membolehkan beliau menyertai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung.

Jika mengikut jadual, Anwar akan mengakhiri hukuman penjara 10 Jun 2018 menjadikan peluang beliau menyertai PRU14 tipis.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah terhadap tuduhan berkenaan yang berlaku 2008. – Sarawakvoice