Rombakan kabinet bermatlamat ke arah ekonomi digital – Penganalisis

Kabinet kerajaan negeri Sarawak yang baharu dibentuk adalah sesuai dengan visi dan misi Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ke arah negeri maju menjelang tahun 2030 dan matlamat ke arah ekonomi digital, kata seorang penganalisis politik.

Penganalisis Sosiopolitik di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kabinet baharu ini mampu menyuntik semangat baharu ke arah hala tuju negeri Sarawak yang lebih jelas.

Pembentukan portfolio baharu menggambarkan penekanan baharu sesuai dengan kepimpinan baharu Abang Johari yang mahukan elemen teknologi, penyelidikan, tenaga sumber dan modal insan diberikan penekanan khusus, katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata gabungan kepimpinan baharu dan lama, kenaikan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak mencerminkan ini ialah kabinet yang bakal membawa masa depan Sarawak ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.

Pasukan kabinet baharu ini mampu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Abang Johari bertindak strategik dalam memilih ahli pasukan kabinet yang bakal memacu pembangunan negeri Sarawak, jelasnya.

Awang Azman berkata, di samping itu kabinet ini dijangka mengukuhkan perpaduan BN Sarawak dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, penyusunan semula kabinet dan penambaikan juga menunjukkan Abang Johari cuba membentuk acuan kepimpinan yang tersendiri berbanding kepimpinan ketua menteri terdahulu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan Tun Abdul Taib Mahmud.

Sementara itu, pensyarah kanan Falkulti Sains Sosial di Universiti Malaysia Sarawak Prof Madya Dr Ahi Sarok berkata pewujudan kementerian baharu, iaitu Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang diketuai Datuk Seri Michael Manyin merupakan langkah yang baik selari dengan langkah kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan.

Ahi berkata rombakan kabinet yang diumumkan Abang Johari pada Sabtu lalu menyaksikan dua menteri muda dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinaikkan menjadi menteri penuh tetapi tiada daripada parti-parti komponen BN yang lain, kecuali Snowdan Lawan dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dilantik sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan. Selain itu, menurut Ahi, cabang Pesaka PBB hanya diberi dua jawatan menteri penuh sementara sembilan yang lain dari cabang Bumiputera.

Dalam rombakan kabinet besar-besarannya pada Sabtu lalu, Abang Johari melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai timbalannya yang baharu, menjadikan kesemuanya tiga Timbalan Ketua Menteri. Dua lagi Timbalan Ketua Menteri ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau turut mengumumkan pelantikan dua menteri – Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Datuk Talip Zulpilip yang turut dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Muka baharu dalam rombakan Kabinet itu termasuk Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol sebagai Menteri Muda yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Korporat, serta ADUN Balai Ringin dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak, Snowdan Lawan yang dilantik sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan.

Abang Johari turut menamakan semula Kementerian Kewangan sebagai Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi serta Kementerian Pembangunan Bandar sebagai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, yang kedua-duanya dipimpin beliau dan menamakan semula Kementerian Pemodenan Pertanian kepada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah yang diterajui Uggah.

Bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Dr Wong Soon Koh pula dilantik untuk mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan manakala bekas Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Datuk Seri Michael Manyin kini dilantik Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Masing dan tiga lagi menteri iaitu Datuk Seri Dr Stephen Rundi, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian dan Datuk Fatimah Abdullah kekal dalam kementerian masing-masing. Bernama