PRU-14: Pas yakin mampu pertahan Kelantan, anggap BN tetap musuh

KOTA BHARU:  Di sebalik keyakinan Barisan Nasional untuk menumbangkan kerajaan Pas di Kelantan, Pesuruhjaya Pas Kelantan yakin dapat mempertahankan negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas akan mempertahankan Kerajaan Kelantan walaupun terpaksa berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Beliau turut menolak  kemungkinan mengatakan Harapan akan menang pada PRU-14 di Kelantan kerana tiada fakta yang menyokong dakwaan berkenaan.

Dengan Pas kini enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah, kemungkinan untuk pertembungan tiga penjuru atau lebih adalah besar.

Pas, ujarnya, tidak boleh menyekat mana-mana parti yang mahu bertanding di Kelantan kerana demokrasi membenarkannya.

Beliau berkata, parti Islam itu akan menghadapi sebarang kemungkinan untuk mempertahankan negeri itu.

“BN  tetap kekal sebagai musuh politik tradisi Pas kecuali perkara yang berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.

Pas dilihat mesra dengan BN, malah politik matang yang diuar-uarkannya disifatkan sebagai bermaksud  kesediaan bekerjasama dengan BN.

Beberapa hari lalu, presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir dalam satu majlis dengan menteri kerajaan persekutuan di Terengganu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan 2007 di Kota Bharu, semalam. – Sarawakvoice