Pikul peralatan bomba sejauh 1.2 km untuk padam kebakaran di Limbang

LIMBANG: Memikul peralatan memadam api sejauh 1.2 kilometer memerlukan stamina yang bukan sedikit. Apatah lagi harus bergerak pantas, kerana perlu menyelamatkan rumah dan nyawa.

Itu pengalaman getir yang dilalui sepasukan anggota bomba dan penyelamat di sini semalam, ketika berusaha menangani kebakaran Rumah Panjang Sateng di Kampung Meresan Jalan Kubong, Pandaruan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 10 pagi dan sebuah jentera, sebuah ambulans EMRS serta dua kenderaan utiliti dengan kekuatan 13 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Turut diatur gerak dua anggota pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kabima Marasam dan dua anggota PBS Kampung Mendamit.

Jelasnya, pihaknya terpaksa meninggalkan semua kenderaan termasuk jentera di tebing sungai kerana untuk ke lokasi kejadian, pasukan perlu melalui sebatang sungai yang hanya boleh dihubungi menggunakan sebuah jambatan gantung.

“Kerana itu kami terpaksa memikul peralatan-peralatan ini dari jambatan gantung.

“Ia agak menyedihkan kerana pergerakan kami agak terbatas, sedangkan mangsa yang ditimpa bencana, sedang menunggu bantuan,” katanya lagi.

Kebakaran tersebut kata Tawang lagi, melibatkan rumah panjang 14 pintu dengan struktur tidak kekal jenis kayu.

“Ia telah musnah sama sekali ketika kami tiba.

“Namun kami segera membentangkan dua aliran 1100 kaki dan menggunakan dua nozel untuk memulakan kerja pemadaman.

“Untuk tujuan ini, kami mendapatkan sumber air sungai yang jaraknya 300 kaki dari rumah panjang, dan menggunakan ‘floating pump’ untuk kaedah ‘relay pumping’ bagi menyalurkan air.

Siasatan awal kata Tawang mendapati tragedi ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Terdapat 101 penghuni rumah ketika kejadian. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Sarawakvoice