Pembangkang perlu kembali ke sekolah politik!

Kenapa kerjasama antara sesama parti pembangkang sukar dijayakan di Malaysia? Realiti politik di Malaysia menunjukkan bahawa usaha untuk menyatukan parti-parti pembangkang khususnya yang melibatkan DAP dan Pas sentiasa berakhir dengan kegagalan.

Pada awal tahun 1990-an, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pernah berusaha merapatkan dua parti tersebut tetapi tidak berjaya. Usaha Ku Li dilanjutkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Barisan Alternatif (BA). Anwar Berjaya, tetapi usia kerjasama itu tidak lama. Tahun 2002, DAP meninggalkan BA.

Selepas PRU ke 12 (2008), Anwar sekali lagi membawa Pas dan DAP bersama-sama gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR). Bila Anwar dipenjarakan, DAP menendang Pas keluar daripada gabungan tersebut dan menubuhkan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan Pas.

Terbaru, Tun Mahathir Mohamad yang mengambil alih peranan Anwar sedar bahawa tanpa penglibatan Pas dalam PH, peluang untuk menewaskan BN pada PRU akan datang adalah amat tipis.

Tetapi hingga kini, Tun gagal jika dibandingkan dengan Anwar. Pas enggan menyertai PH dan kini sedang berusaha pula untuk bercerai dengan PKR.

Jika diperhalusi gerakan yang cuba menyatukan parti-parti pembangkang di Malaysia sebenarnya bukanlah daripada hasil usaha daripada para pemimpin parti pembangkang itu sendiri, khususnya Pas dan DAP, tetapi ianya datang daripada pemimpin Umno yang terbuang. Antaranya adalah seperti Ku Li, Anwar dan Tun Mahathir.

Fakta ini menguatkan hujah bahawa di Malaysia hanya terdapat satu sahaja sekolah politik, iaitulah sekolah politik BN. Hanya sekolah politik BN mengandungi silibus yang menyatakan bahawa untuk menang hati semua kaum utama di negara ini parti-parti politik perlu bekerjasama. Mereka perlu bertanding menggunakan satu logo dan mengamalkan konsep perkongsian kuasa.

Maka itu sebabnya kenapa keluaran sekolah politik BN seperti Ku Li, Anwar dan Tun Mahathir apabila terkeluar daripada pentas BN dan bersama parti pembangkang, idea utama mereka ialah mengajak semua parti pembangkang yang ada untuk bersatu di bawah satu gabungan seperti model BN.

Parti pembangkang seperti DAP dan Pas mendakwa meraka juga mempunyai sekolah politik. Tetapi sekolah politik mereka tidak bertunjangkan budaya politik masyarakat Malaysia. Sekolah politik DAP tidak ada silibus mengenai kerjasama dengan parti politik lain. Sekolah politik DAP hanya melahirkan pemimpin seperti Lim Kit Siang yang boleh bertahan selama 50 tahun. Satu pencapaian yang luar biasa, mengalahkan pemimpin parti komunis di Korea Utara dan Cuba.

Sekolah politik Pas pula berkiblatkan Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan yang dimulakan di Mesir. Silibus mereka diformulasi oleh Hassan al-Banna dan Syed Qutb. Buku-buku rujukan mereka tidak tertulis perkataan kerjasama, perkongsian kuasa dan toleransi.

Sebab itulah makanya, pemimpin DAP dan Pas hanya akan bekerjasama sekiranya ada pemimpin keluaran sekolah politik BN datang mengajak mereka dan menunjukkan kepada mereka tentang manfaat yang bakal mereka peroleh jika mengamalkan kerjasama antara parti (itu pun bukan semua berjaya).

Namun, seperti yang berlaku pada hari ini, mereka kembali bergaduh dan berpecah setelah para pemimpin keluaran sekolah politik BN tidak lagi ada bersama mereka. Ramai percaya bahawa PR tidak mungkin akan mengalami nasib seperti hari ini jika Anwar tidak dipenjarakan.

Melihat kepada realiti perpecahan antara parti pembangkang yang ada pada hari ini, jalan keluar kepada permasalahan mereka adalah satu sahaja, iaitu: kembali ke sekolah politik yang bertunjangkan budaya politik rakyat Malaysia! – Sarawakvoice