Dengan kemenangan hanya enam kerusi Cina oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan dua kerusi oleh calon langsung Barisan Nasional (BN) daripada Parti Bersatu Rakyat (UPP), dalam pilihan raya negeri lalu, masyarakat Cina di Sarawak perlu bersyukur.

Bersyukur kerana Kabinet Tan Sri Adenan Satem dan sekarang Kabinet Datuk Amar Abang Johari Tun Openg masih “memberi muka” kepada mereka.

Tulisan ini bukan bersifat rasis, tetapi dengan sumbangan tidak sampai 10 peratus pun dalam pilihan raya Sarawak, mereka kini diberikan tiga porfolio menteri kanan, dan satu menteri muda.

Jika diikut parti — kerana mereka juga ada deposit dalam kerusi Bumiputera — parti-parti dominan Cina ini ada tambahan dua slot menteri muda.

Jadi kenapa perlu Pengerusi Barisan Negeri (BN) tunduk kepada desakan untuk memberikan kedudukan Timbalan Ketua Menteri kepada masyarakat Cina?

Ia sesungguhnya tidak perlu untuk ketika ini, memandangkan mereka masih gagal mengembalikan sokongan penuh masyarakat Cina kepada BN.

Dalam politik, sehebat mana pun retorik, setebal mana pun poket dan segah mana pun publisiti yang dicanang, perkara akhir adalah peti undi dan sokongan.

Pada pilihan raya lalu, ternyata ada pemulihan dari aspek sokongan selepas tragedi tsunami pada pilihan raya negeri dan parlimen sebelumnya. Tetapi ia masih belum memberikan keyakinan meluas. Belum cukup ampuh untuk meletakkan pemimpin Cina sebagai salah satu daripada satu kerusi Timbalan Ketua Menteri.

Satu lagi faktor; siapa pula yang lebih layak untuk duduk di kerusi tersebut selain Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan? Datuk Dr Sim Kui Hian sendiri pun hanya memiliki pengalaman penggal pertama dalam Kabinet. Jika dinaikkan Datuk Sri Wong Soon Koh pula, pasti SUPP melenting!

Justeru tidak adil bagi masyarakat ini menyalahkan kepimpinan negeri jika diri mereka sendiri gagal untuk bersatu. Malah bagi UPP, gagal untuk memasuki kelompok komponen BN pun.

Berdasarkan fakta mudah di atas, kekecewaan masyarakat Cina tidak dilantik ke posisi kanan itu, harus diletakkan di muka sendiri.

Oleh itu, wajar untuk Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, menerusi Pengerusinya, Datuk Richard Wee melaungkan kekecewaan.

Tidak perlulah diprovokasi keputusan yang telah dibuat, kerana dengan sumbangan lebih 50 peratus daripada kerusi DUN Sarawak, memang selayaknya dua Timbalan Ketua Menteri untuk PBB.

Lebih cekap lagi, satu untuk Pesaka dan satu untuk Bumiputera. Dan lebih tepat lagi, ketiga-tiga mereka termasuk, Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, adalah “orang lama” dan “orang berpengalaman” dalam kerajaan.

Justeru tidak perlu lagi untuk masyarakat Cina bersuara tinggi tentang komposisi ini.

Lebih baik mereka memberikan fokus kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum tidak lama lagi. Hanya dengan “peti undi” suara mereka akan didengari. – Sarawakvoice