Bagai mimpi dapat jumpa PM Najib

SANDAKAN: Bagaikan bermimpi menjadi kenyataan buat Jumah Abdul Hamid apabila hasratnya bertemu Perdana Menteri tercapai selepas berpeluang menerima kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak sempena program ‘Jom Bantu Rakyat’ di Kampung Sim-Sim, di sini, semalam.

Kunjungan Najib meninggalkan memori indah buat wanita berusia 57 tahun itu, yang tidak dapat berjalan dan mengidapi penyakit kencing manis serta darah tinggi, apabila pemimpin nombor satu negara itu melawat dua rumah penduduk di kampung berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman melawat Banrun Binti Mohamad, 82, yang merupakan bekas pesakit strok di Kampung Sim-Sim Sandakan semalam.

“Syukur Alhamdulillah… selama ini hanya melihat di televisyen tetapi hari ini dapat berjumpa dengan Perdana Menteri (Najib).

“Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memilih saya untuk program ini,” katanya.

Perasaan gembira dan terharu itu turut dikongsi suaminya, Awang Damit Bakar, 64, yang menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dengan meluangkan masa berjumpa rakyat tidak kira di mana sahaja.

Beliau, yang bekerja sebagai nelayan, berkata impiannya untuk berjumpa Najib menjadi kenyataan dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan kerusi roda, katil khas dan pembaikan bilik air rumahnya menerusi program tersebut.

Perdana menteri meluangkan masa sejam pada program itu dan turut menziarahi lagi seorang lagi penduduk kampung itu, Banrun Binti Mohamad, 82, bekas pesakit strok.

Seorang anak perempuannya, Shamsiah Noraji bersyukur dan terkejut apabila diberitahu oleh pihak JKM bahawa Najib akan menziarahi ibunya.

“Kunjungan Perdana Menteri ke rumah kami menjadi detik bersejarah kepada kami dan anak cucu kami,” kata pengusaha taska itu.

Menerusi program itu, Banrun turut menerima sumbangan kerusi roda, katil khas dan pembaikan bilik air rumah.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, timbalannya Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampung Puyon. Bernama