Api musnahkan sebuah rumah dua tingkat di Trusan malam tadi

LAWAS: Satu keluarga terselamat selepas rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Tengah, Jalan Trusan dekat sini malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.34 malam dan sebuah jentera, sebuah prime mover water tanker dan sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkembar dua tingkat jenis kekal, yang telah terbakar 80 peratus.

“Pasukan mengambil masa kurang setengah jam untuk mengawal api dan proses penyejukan diteruskan sehingga jam 11 malam di rumah bersaiz 30 kaki x 30 kaki itu,” katanya.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian sedang disiasat pasukan forensik kebakaran, tambahnya. – Sarawakvoice