52 remaja dihadap ke mahkamah didakwa terlibat kongsi gelap Geng24

KLANG: Seramai 52 remaja berusia 15-18 tahun, sebahagian besarnya pelajar sekolah dan seorang penuntut kolej, dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang pada Isnin atas tuduhan terlibat jenayah kongsi gelap Geng24, April lalu.

Tiga daripada mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Sementara, 49 orang lagi mohon dibicarakan.

Remaja terbabit didakwa terlibat dalam perhimpunan menyalahi undang-undang seperti dipaparkan dalam video upacara memotong kek dihiasi angka 24.

Kejadian didakwa dilakukan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, SMK Kampung Jawa, SMK Raja Mahadi, dan di belakang Sekolah Kebangsaan Simpang Lima antara 20-21 April lalu bagi tujuan melakukan kemudaratan awam.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding secara tertutup lebih sejam itu dijalankan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Kesemua remaja terbabit dibenarkan ikat jamin RM800 hingga RM1,000 berserta seorang penjamin. – Sarawakvoice