Uggah gertak pembangkang jangan cabar PBB, ahlinya setia bersama Abg Johari

KUCHING: Pemangku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggertak pembangkang agar tidak mencabar PBB kerana ahlinya setia membela Presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Uggah merangkap Timbalan Ketua Menteri berucap pada Perhimpunan PBB Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu menyifatkan Abang Johari Ketua Menteri yang jelas wawasannya memacu pembangunan Sarawak.

Foto Salfian Nawawi

Bagi Uggah, Abang Johari Ketua Menteri untuk semua tanpa mengira kaum dan agama.

Menurut beliau, sepanjang 112 hari Abang Johari menjadi Ketua Menteri, beliau berjaya menggegarkan Bumi Kenyalang ini dengan prestasi cemerlang.

Menurutnya, hal ini memberi impak sehingga menjadikan perpaduan PBB sangat sukar diruntuhkan oleh musuh.

Uggah menyenaraikan pencapaian cemerlang Abang Johari antaranya berjaya dalam rundingan pemilikan Empangan Hidro Elektrik Bakun, merealisasikan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

Abang Johari juga berjaya membawa masuk peruntukan Persekutuan RM1 bilion untuk pembangunan ICT moden dan RM1 bilion bagi projek luar bandar.

Uggah yakin kepemimpinan Abang Johari berjaya membawa Sarawak ke era ekonomi digital yang diperjuangkannya.

Dalam tempoh singkat memegang tampuk kuasa negeri, Abang Johari sangat cergas mengunjungi hampir keseluruhan kawasan di Sarawak.

Abang Johari juga disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, berani serta tegas menyuarakan kepentingan Sarawak. – Sarawakvoice