Tragedi bot karam: Kekuatan SAR ditambah, buaya tidak ganggu operasi

KABONG: Jentera pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki seorang mangsa bot karam di muara Sungai Kampung Paloh diperkuatkan dengan penyertaan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM), PDRM, Rela, bomba dan penduduk kampung hari ini.

Operasi SAR bermula awal pagi tadi dengan lokasi mencari bertumpu di persekitaran kawasan tragedi di kawasan muara Sungai Paloh.

Malam tadi pihak penduduk kampung yang dianggarkan berjumlah lebih 30 orang dengan disertai oleh beberapa anggota Bomba Saratok meneruskan operasi mencari mangsa kira-kira jam 9 malam.

Abang Yus,38, yang terlibat mencari memberitahu semasa operasi mencari mereka turut terserempak dengan kehadiran buaya yang sedang berehat di atas tebing. Namun haiwan berkenaan tidak mengganggu operasi dan hanya memerhati penduduk yang sedang berada di situ.

“Waktu itu air surut dan penduduk dapat berjalan di tebing sungai serta segelintir daripada mereka berjalan di dalam air yang ketika itu pada kedalaman paras pinggag,”ujarnya.

Operasi itu dihentikan jam 11 malam apabila air mula pasang. Namun mangsa masih tidak berjaya ditemukan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira-kira jam 12.40 tengah hari kelmarin sebuah bot yang sarat dengan muatan air minuman bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut membawa bersama 12 penduduk kampung karam dipukul ombak.

Akibat kejadian itu seorang penduduk yang dikenali sebagai Abang Madehan Abang Awi berusia 43 tahun hilang di muara sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Kho Boo Jang memberitahu setakat jam 10.50 pagi pihak yang terlibat operasi belum lagi berjaya menemui mangsa. – Sarawakvoice

Mangsa yang hilang…Madehan Awang Awi