TPM: Pembangunan pendidikan tidak kira bangsa dan agama

HUTAN MELINTANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bidang pendidikan di negara ini merupakan perkara penting yang perlu diberi keutamaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata dalam konteks pendidikan, ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan soal bangsa atau kedudukan geografi seseorang individu itu.

“Kita hendaklah meletakkan seluruh tenaga dan daya usaha untuk memberi fokus jika individu, keluarga atau institusi kemasyarakatan mahu berada di tahap yang lebih tinggi, kaedah yang terbaik untuk mempertingkatkan status sosial adalah melalui bidang pendidikan,” katanya.

Gambar fail

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian pada majlis penyampaian 50 biasiswa penuh kepada golongan belia Bagan Datuk yang disumbangkan oleh Universiti Lim Kok Wing.

Sejumlah RM80,000 biasiswa diberi kepada pelajar yang terpilih mengikuti program yang ditawarkan oleh universiti itu di peringkat sijil kemahiran, diploma dan ijazah sarjana muda.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada  Tan Sri Lim Kok Wing, selaku pengasas universiti itu, berikutan pemilihan pelajar Bagan Datuk untuk diberi peluang mendapat biasiswa penuh.

“Peluang sebegini harus digunakan sepenuhnya oleh pelajar Melayu, Cina dan India dari Bagan Datuk untuk memasuki universiti ini,” katanya.

Beliau turut menyeru pemimpin masyarakat pelbagai kaum, termasuk badan bukan kerajaan, supaya mengetepikan perbezaan politik demi mempertingkatkan status sosial dalam bidang pendidikan. Bernama