‘The Way Station’ rangkul tiga anugerah Aiffa 2017

KUCHING: Filem ‘The Way Station’ arahan pengarah wanita dari Vietnam, Pham Thi Hong Anh menewaskan 109 filem lain untuk dinobatkan Filem Terbaik Aiffa 2017.

Filem ini turut menjulang Anugerah Pengarah Fotografi Terbaik manakala pelakon utamanya, Pha Hong Phuoc muncul penerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik. Ironinya, ia merupakan filem pertama lakonan Hong Phuoc.

The Way Station

Anugerah Lakon Layar Filem Terbaik pula dimenangi  filem ‘Ziarah: Tales of the Otherwords’ dari Indonesia manakala  Anugerah Pengarah Filem Terbaik dimenangi Lusito Ignacio dari Filipina menerusi filem ‘Area’.

Aktres Filipina, Ai-Ai Delas Allas pula dinobat Pelakon Wanita Terbaik, juga menerusi filem ‘Area’ sementara anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi pelakon Filipina, Ricky Davao menerusi filem ‘Dayang Asuk’ atau Dog Nation’.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dijulang Ana Capri yang membintangi filem ‘Laut’ , juga dari Filipina sementara Anugerah Suntingan Filem Terbaik pula  dimenangi filem ‘Imbisibol’ (Invisible)’ dari Filipina.

Anugerah Kebanggaan Khas pula disandang filem  Lav Diaz dari Filipinq manakala dua filem Indonesia arahan BW Purba Negara,  ‘Ziarah: Tales of The Otherwords’ dan ‘Solo, Solitude’ (arahan Yulia Evina Bhara) turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Juri.

Filem ‘Kanang anak Langkau’ yang menceritakan kisah perjuangan tentera kelahiran Sarawak arahan Bede Azmi dinobat sebagai penerima Anugerah Semangat Asean manakala Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dimenangi Tan Sri L Krishnan.

Anugerah Inspirasi Asean pula dimenangi aktor Hollywood, Donnie Yen, yang membintangi filem-filem terkemuka seperti ‘Ip Man’ dan ‘Rouge One: A Star Wars Story’.

Kedua-dua anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Turut menyerikan malam gala ini ialah persembahan Judika, Zainal Abidin, Harith Iskandar dan Ella. – Sarawakvoice