Terima Kasih PM! : Abang Jo

Ketua Menteri alu-alukan pengecualian Dasar Kabotaj

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju dan menyokong permintaan Kerajaan Sarawak untuk menghapuskan dasar kabotaj.

Menurutnya, tindakan Datuk Seri Mohd Najib Razak itu akan membantu mengurangkan implikasi kos barangan, dengan mengelakkan bayaran berganda.

“Memang ada sektor yanh tidak gembira dengan keputusan ini namun kita perlu melihat kepentingan para pengguna akhir.

“Saya berharap ia akan mengurangkan kos dan membantu mengurangkan kos barangan di Sarawak dan Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusi Mesyuarat Pra-DUN Barisan Nasional (BN) Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pagi tadi.

Sewaktu berucap di Sandakan, Sabah pagi tadi, Datuk Seri Najib mengumumkan pengecualian dasar kabotaj bermula 1 Jun depan.

Pelaksanaan ini melibatkan aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pertama kali Abang Jo bercakap mengenai usaha pengecualian dasar ini adalah pada 100 hari pentadbirannya sebagai Ketua Menteri Sarawak. – Sarawakvoice