S’wak mahu wujudkan Centexs di pedalaman perjelas ekonomi digital

KUCHING: Bagi mengetahui keperluan rakyat luar bandar dan pedalaman serta mempertingkat maklumat, Kerajaan Negeri sedia mewujudkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs).

Menurut Pegawai Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Dr Zaidi Razak, perancangan ini bakal diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg selepas perbincangan dimuktamadkan.

Memetik Utusan Borneo pada Ahad, Zaidi pada sesi pembentangan pembentangan “Persediaan Ke Arah Ekonomi Digital” pada Perhimpunan PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menjawab soalan perwakilan PBB dari Bario berkaitan cadangan mewujudkan Centexs di luar bandar.

Beliau berpendapat sukar penduduk luar bandar memahami digital, namun beliau yakin kerajaan mempunyai kaedah memberi kefahaman kepada rakyat.

Berkaitan isu khidmat wifi di luar bandar termasuk di Bario, Zaidi mengakui ia perlu dipertingkatkan.

Justeru, menurut Zaidi penyelesaiannya ialah kerajaan menyediakan kemudahan internet tanpa wayar bagi keperluan pedalaman.

Dalam pada itu, Zaidi berpendapat untuk menjelaskan perancangan ke arah ekonomi digital, kerajaan memperhebat program pameran bergerak di seluruh negeri memberi penerangan kepada rakyat.

Perancangan lain menubuhkan Pusat Data pada masa depan. – Sarawakvoice