Selepas logo asal dikecam, Harapan terima 130 logo alternatif

KUALA LUMPUR: Dalam satu kenyataan, Pakatan Harapan (Harapan) mengumumkan setakat ini pihaknya menerima lebih 130 cadangan logo untuk dipilih sebagai mewakili gabungan Harapan.

Harapan terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Parti Tindakan Demokratik (Dap), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bersatu.

Sebelum ini, Harapan pada 4 Mei lepas mengalu-alukan orang ramai menghantar cadangan logo mewakilik gabungan parti politik berkenaan yang berpotensi digunakan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. (PRU14).

Cadangan tiga logo Harapan yang disenarai pendek dikecam netizen yang dianggap sebagai buruk dan ada yang menyindirnya sebagai mirip logo jenama produk kacang tanah.

Pakatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menghantar cadangan rekaan logo Harapan terbaru itu.

Harapan menganggap jumlah cadangan yang besar itu sebagai tanda sokongan moral rakyat Malaysia terhadap imej, perkembangan dan hala tuju sebagai pakatan menghadapi PRU14.

Memetik Keadilan Daily pada Ahad, cadangan logo masih boleh dihantar sehingga 10 pagi pada Selasa, 9 Mei 2017.

Antara garis panduan mereka logo tersebut ialah logo terdiri daripada dua warna dan perlu disertakan versi hitam putih untuk tujuan paparan pada kertas undi.

Logo tersebut perlu berteraskan konsep “harapan”, “demokrasi”, “keadilan”, “integriti” dan “perpaduan”. – Sarawakvoice