Saya akan kembali ke Kuching — Donnie Yen

KUCHING: “Saya ingin melihat pembikin filem muda meneruskan usaha gigih mereka membuat filem…membuat magik,” kata aktor Donnie Yen sejurus menerima Anugerah Inspirasi Asean sempena Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean 2017 di sini malam tadi.

Katanya, filem merupakan media yang terbaik untuk menerapkan nilai kasih sayang dan menyampaikan mesej positif.

“Tiada kerjaya lain yang mempunyai landasan yang mantap seperti ini, yang membawa kasih sayang, emosi serta membawa perpaduan terutama kepada masyarakat dunia yang kini berhadapan begitu banyak masalah, perpecahan, ketidaksefahaman, isu dan sebagainya,” katanya lagi.

Pada sidang media yang berakhir kurang lima minit malam tadi, Donnie, 53 tahun turut mengakui turut teruja dipilih sebagai pemenang anugerah selain seronok berada di Kuching.

“Malangnya, saya, isteri dan pasukan saya terpaksa balik esok (hari ini) kerana sedang terlibat dalam penggambaran filem lain.

Mengakui menghabiskan masa yang indah di sini, Donnie berkata, ia pengalaman yang hebat untuk mereka.

“Saya berhasrat untuk kembali ke sini pada masa akan datang … makan durian dan buat filem di sini,” katanya lagi.

Hadir menyampaikan anugerah malam tadi ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib. – Sarawakvoice