Sarawak nikmati kemajuan pesat hasil asas perjuangan pemimpin awal

KUCHING: Nikmat kemajuan yang dikecapi Sarawak ketika ini adalah hasil asas perjuangan pemimpin negeri terdahulu, yang meletakkan kemakmuran dan  kesejahteraan  rakyat sebagai agenda utama.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata sejak awal penubuhannya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang menunjangi Barisan Nasional Sarawak (BN) telah mengambil pendekatan ‘politik pembangunan’ untuk kesejahteraan negeri, dan menolak terlalu banyak ‘politiking’ dalam pentadbiran.

Beliau berkata semasa Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menerajui PBB sejak 1980-an lagi, beliau (Tun) telah mengambil langkah yang tepat apabila membawa pendekatan politik pembangunan, di samping memupuk barisan pelapis yang tersusun lagi terlatih untuk meneruskan agenda perjuangan PBB dalam membangunkan Sarawak.

“Pembaharuan yang dilalui Sarawak sejak dahulu adalah hasil agenda perjuangan pemimpin terdahulu ini. Kita merasa bertuah kerana Tun (Abdul Taib) masih ada dengan kita untuk melihat nikmat hasil perjuangannya, dan diteruskan oleh barisan pemimpin parti dan jentera kerajaan hari ini,” katanya.

Abang Johari berucap demikian di majlis Perhimpunan PBB Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Beliau yang juga Yang Dipertua PBB seterusnya menyampaikan penghargaan kepada barisan kepimpinan PBB yang memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menerajui parti selepas Ketua Menteri Sarawak yang kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.   

Perhimpunan sehari PBB hari ini menyaksikan tiga tokoh PBB diberi sanjungan dan penghargaan tertinggi oleh parti, terhadap sumbangan dan jasa mereka.

Lebih 5,000 perwakilan dari semua 82 cawangan PBB seluruh Sarawak menghadiri perhimpunan itu yang diadakan khusus bagi memperingati dan menghargai sumbangan mereka yang terdiri daripada Tun Abdul Taib, Allahyarham Adenan, dan bekas Timbalan Yang Dipertua PBB Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Di sebelah petang, dilakukan pembentangan kertas kerja bertajuk “Persediaan Ke arah Ekonomi Digital” oleh Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sarawak; dan pelancaran buku bertajuk Jasamu Dikenang.

Pada satu ketika suasana di Dewan Utama BCCK menjadi sayu semasa bekas Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi menyampaikan ucapannya mengenai Allahyarham Adenan.   

Pelbagai  gerai pameran komuniti yang menjual pelbagai produk tempatan dibuka di perhimpunan itu. Bernama