PAS tukar tiga Pesuruhjaya negeri persediaan PRU14 – Takiyuddin

KUALA LUMPUR: PAS menukar tiga Pesuruhjaya negeri sebagai langkah awal dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata rombakan itu melibatkan Anggota  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak (Selangor), Sallehen Mukhyi, yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad; bekas  Speaker DUN Terengganu, Datuk Husin Awang, dilantik Pesuruhjaya PAS Terengganu menggantikan Saiful Bahri Mamat manakala ADUN Puteri Wangsa (Johor), Abdullah Hussin menggantikan Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai Pesuruhjaya PAS negeri.

Ditanya mengenai Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad yang digugurkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau berkata ia tiada kena-mengena dengan isu membabitkan kepimpinan negeri tersebut.

“Iskandar sebenarnya dinaikkan pangkat dan diberi tugas untuk memantau pergerakan dan persediaan jentera parti di zon tengah dan selatan iaitu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor malah beliau juga menjadi Pengerusi Kompleks PAS Selangor yang dirancang dibina di negeri berkenaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Bahru berkata pemilihan Sallehan menggantikan Iskandar adalah pertukaran biasa demi memastikan pengurusan PAS di peringkat negeri lebih mantap.

“Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula diberi jawatan menguruskan hal ehwal parti di luar negara termasuk menjaga kebajikan anggota parti manakala dua Naib Presiden PAS iaitu Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula, mereka berdua diberi tanggungjawab menjaga beberapa negeri dalam persediaan menghadapi PRU14, kata Takiyuddin.

“Idris akan menjaga negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak manakala Datuk Mohd Amar akan menjaga negeri Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata Datuk Mustafa Ali telah digugurkan daripada Anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden PAS.

Jawatan Mustafa diganti Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, katanya.

“Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung dari 1 Mei hingga hari ini, telah sebulat suara bersetuju pelantikan Razman Zakaria sebagai bendahari parti menggantikan Mohamad Noor Mohamad,” kata Takiyuddin.

Berikut ialah senarai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 2017 sehingga 2019:

Setiausaha Agung: Datuk Takiyuddin Hassan

Bendahari: Razman Zakaria

Ketua Penerangan: Nasaruddin Hassan

Ketua Pengarah Pilihanraya: Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Penolong Setiausaha Agung 1: Khairul Faizi Ahmad Kamil

Penolong Setiausaha Agung 2: Khairul Fahmi Mat Som — Bernama